Pengurusan Sumber Manusia Dan Payroll
Pada
pandangan saya, pengurusan sumber
manusia dan pembayaran gaji dalam sesebuah organisasi adalah saling berkaitan
dan memainkan peranan yang sangat penting dalam operasi hariannya. Jabatan
sumber manusia dan pembayaran gaji mempunyai hubungan yang sangat rapat kerana
ia melibatkan pekerja secara langsung dan tidak langsung seperti pekerja
separuh masa, kontraktor, konsultan, operator dan kumpulan pekerja tetap.
Pengurusan sumber manusia yang baik akan memberikan kesan kepada program
penilaian organisasi yang memberikan kesan dan refleks kepada perubahan bentuk
kerja. Kini banyak organisasi yang menggabungkan berkaitan proses pembayaran
gaji dengan jabatan sumber manusia untuk lebih mudah dikendalikan.
Pada pendapat saya juga,
penggabungan antara pembayaran gaji dan jabatan sumber manusia dapat membantu
dalam banyak perkara seperti mengurangkan kos pengurusan dan pentadbiran.
Misalnya, jabatan sumber manusia akan menentukan tempoh kerja lebih masa yang
boleh dilakukan bagi seseorang individu atau pekerja. Jabatan sumber manusia
juga akan menentukan limitasi tempoh untuk membuat kerja lebih masa yang sesuai
dengan beban kerja yang terpaksa ditanggung oleh pekerja. Oleh yang demikian,
jabatan sumber manusia membuat rekod yang lengkap mengenai jumlah kerja lebih
masa dan akan membuat pembayaran terhadap kerja-kerja tersebut. Jabatan sumber
manusia sesebuah organisasi dapatlah dikatakan bertanggungjawab terhadap segala
bentuk perlaksanaan yang melibatkan tenaga sumber manusia dan pembayaran upah
utuk seluruh kakitangan organisasi.
Selain dari itu, pada pendapat saya
juga jabatan sumber manusia adalah satu-satunya jabatan dalam organisasi yang
berkuasa penuh untuk menentukan proses pengambilan pekerja dari segi bilangan
pekerja baru yang diperlukan, tawaran kemasukan, dokumen-dokumen perlantikan,
jawatan yang ditawarkan, pembayaran gaji yang diberi, penempatan tempat tugas
dan kelayakan yang dikehendaki oleh organisasi untuk mengisi kekosongn jawatan
yang ditawarkan itu. Pada masa ini, jabatan sumber manusia akan bertindak
menganalisis bagi pihak organisasi mengenai pembayaran gaji yang akan
ditawarkan kepada pekerja baru berdasarkan pengalaman dan kelayakan. Jabatan
ini akan menilai sejauh mana kelayakan individu itu untuk ditawarkan dengan
gaji yang setimpal dengan pasaran kerja semasa disamping menarik minat
pekerja-pekerja baru mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
Saya juga melihat jabatan sumber
manusia sebagai satu jabatan yang bertanggungjawab untuk mengambil kira
mengenai ketidakhadiran kerja pekerja tanpa sebab untuk tujuan pembayaran gaji
dan pelbagai elaun-elaun yang berkaitan. Kadar ponteng kerja akan mempengaruhi
bayaran upah yang diterima oleh pekerja pada setiap bulan. Misalnya, pekerja
yang mempunyai rekod ponteng kerja yang tinggi tidak boleh dibayar upah sama
seperti pekerja yang tidak mengalami masalah tidak hadir bekerja. Pekerja yang
sentiasa ponteng kerja juga, tidak boleh menerima apa-apa kemudahan elaun
tambahan atau bonus yang telah diperuntukan oleh organisasi untuk pekerja yang
mempunyai rekod yang cemerlang dan kehadiran yang baik ketika waktu bekerja.
Oleh itu, peranan jabatan sumber manusia adalah memastikan bahawa pembayaran
yang dibuat dan yang diterima oleh pekerja adalah adil mengikut peraturan kerja
dan kedatangan yang telah ditetapkan oleh organisasi.
Sehubungan itu, masalah pembayaran
upah ini menjadi lebih mudah dengan menggunakan sistem applikasi yang
dibangunkan oleh jabatan sumber manusia yang mana sistem pembayaran gaji adalah
sistem automatik yang telah disetkan mengikut perkiraan jam bekerja pekerja. Ia
akan lebih memudahkan pihak pentadbiran dan pengurusan dalam memantau pekerja dan
pemprosesan permohonan kerja lebih masa. Teknologi sumber manusia kini
menyediakan sistem perkhidmatan layan diri yang terbaik dan lengkap. Untuk itu,
adalah menjadi tanggungjawab setiap pekerja industri untuk melengkapkan
maklumat diri mereka ke dalam sistem yang telah disediakan oleh organisasi agar
maklumat diri itu sentiasa terkini.
Apabila pekerja industri menggunakan
satu sistem yang telah ditingkatkan dengan teknologi terkini, ia bukan sahaja dapat
menjimatkan tenaga sumber manusia malah dapat menjimatkan masa dan kos
pentadbiran. Kemudian, semua kos ini dapat dialihkan kepada program pembangunan
untuk kecekapan operasi organisasi serta penambahbaikan kepada penggunaan
teknologi yang lebih meluas dalam organisasi serta persaingannya.
Mengikut pemahaman saya, pengisian
borang kerja lebih masa melalui online
akan terus ke sistem pengiraan secara automatik dapat memudahkan pekerja
jabatan sumber manusia tanpa perlu mengisi borang OT secara manual dan sedikit menyulitkan terutama untuk mendapatkan
pengesahan dan sokongan pihak atasan. Melalui kaedah ini juga, organisasi dapat
memantau secara lebih kerap berkaitan dengan pencapaian produktiviti pekerja
dengan melihat kekerapan dan kadar kerja lebih masa yang dilakukan oleh mereka.
Organisasi atau pengurus secara tidak langsung dapat memantau proses kerja,
bebanan kerja dan lambakan kerja yang terpaksa ditanggung oleh kakitangan
organisasi. Oleh yang demikian, tindakan boleh diambil seperti mengenalpasti
apakah punca masalah sehingga menyebabkan kakitangan terpaksa melakukan kerja
lebih masa ataupun organisasi telah menyediakan kerja lebih masa sebagai
kebajikan yang boleh dipilih oleh kakitangan.
Selain penggunaan teknologi dan
sistem yang terkini, saya mencadangkan agar untuk memantapkan lagi penggunaan
teknologi khususnya komputer, seharusnya organisasi tidak mengabaikan
penyediaan set komputer yang lengkap kepada para pekerja dengan sistem atau
dapatan yang terkini. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman sendiri,
organisasi seringkali menyediakan peralatan yang lengkap untuk kakitangan
mereka. Namun amat mengecewakan, apabila kakitangan dihantar untuk menjalani
sesuatu kursus yang berkaitan dengan teknologi apabila kembali ke tempat kerja,
segala ilmu pengetahuan yang diperolehi di sepanjang kursus tidak dapat
dipraktikkan sepenuhnya. Ini kerana, kursus-kursus yang dianjurkan adalah menepati
pasaran kerja semasa, tetapi organisasi masih belum bersedia untuk melengkapkan
peralatan dengan kesesuaian teknologi semasa.
Oleh
itu, pada pendapat saya, hal ini amat merugikan bukan sahaja pekerja malah
organisasi yang banyak melabur untuk pembangunan kerjaya pekerja namun matlamat
yang hendak dicapai adalah tidak selari dengan persediaan untuk membuat
perubahan dan menyesuaikan dengan keadaan semasa. Oleh itu, apabila hendak
membuat sebarang perubahan, maka organisasi dan pekerja harus bekerjasama untuk
memastikan agar matlamat yang hendak dicapai adalah selari dengan keupayaan
pekerja dan organisasi itu sendiri.
Rujukan :
1. Teori Modal Manusia (Becker, 1975)
2. Management a holistic approach.Shah Alam, Selangor.Arah Publications.
3. Management.4TH Edition.Prentice Hall.
Rujukan :
1. Teori Modal Manusia (Becker, 1975)
2. Management a holistic approach.Shah Alam, Selangor.Arah Publications.
3. Management.4TH Edition.Prentice Hall.
No comments:
Post a Comment